MELAKA – Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diminta melaksanakan peranan mereka dengan membawa isu-isu kemasyarakatan di kawasan masing-masing kepada PBT berkenaan supaya ia dapat diatasi segera.
Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata mereka juga perlu memainkan peranan dengan intensif dan meluas bagi memastikan Melaka kekal menjadi negeri indah, bersih dan menawan.
“Kebersihan dan keindahan adalah berkaitan kualiti perkhidmatan. Kalau kawasan itu kotor, jijik dan peniaganya tidak berdisiplin, saya kira Ahli Majlis itu tidak menjalankan tugas dengan cekap,” katanya kepada pemberita di Kompleks Seri Negeri di sini, hari ini.
Beliau ditemui selepas merasmikan perhimpunan bulanan pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka yang turut menyaksikan kira-kira 100 Ahli Majlis PBT termasuk Datuk Bandar dan Yang Dipertua empat PBT di negeri ini mengangkat sumpah lantikan.
Dalam pada itu, Idris berkata semua penjawat awam perlu berkhidmat dengan penuh integriti, cekap dan berkesan bagi memastikan semua sasaran kerajaan negeri dicapai tahun ini.
“Penyampaian produk dan perkhidmatan kepada rakyat perlu berkualiti dan bertepatan dengan semua aspek termasuk integriti, akauntabiliti dan telus agar ia menepati citarasa rakyat,” katanya.
Menurutnya penyediaan perkhidmatan yang baik untuk rakyat perlu mempunyai misi dan gerak kerja tersusun supaya ia memberi kesan positif kepada merela dan kerajaan negeri. – BERNAMA

