KECOH… Hanya kerana hadiah, satu pergaduhan tercetus melibatkan sekumpulan enam pembeli di sebuah pasar raya Jerman di England kira- kira pukul satu tengah hari waktu tempatan semalam.
Menurut sebuah laman berita antarabangsa, insiden itu tercetus gara-gara mereka berebutkan hadiah Krismas memandangkan perayaan itu bakal menjelang minggu hadapan yang disambut pada 25 Disember setiap tahun.
Klip berdurasi 51 saat itu dirakam menggunakan telefon bimbit oleh seorang warga tempatan yang kebetulan berada di tempat kejadian di Hanley, Stoke-on -Trent, Staffordshires.
Di dalam klip itu, seorang lelaki memakai jaket biru, hitam dan putih, seluar krim berserta topi hitam dilihat melarikan diri dari anggota polis sebelum berjaya ditangkap oleh orang awam.
Suspek dan beberapa anggota polis kemudiannya bergelut di hadapan sebuah gerai jualan bunga dan pokok Krismas sebelum berjaya ditumpaskan.
Menerusi video itu juga, kedengaran kanak-kanak menangis akibat ketakutan melihat pergelutan antara ramai suspek dan pasukan polis.
Salah seorang saksi kejadian itu, Gary Dawson, 45; seorang pemandu lori memberitahu: “Ia adalah pergaduhan beramai- ramai. Orang ramai menjerit dan yang lain-lain semuanya melihat dengan terkejut.
“Saya mendengar beberapa kanak-kanak menangis kerana mereka tidak tahu apa yang berlaku.”
Manakala Surina Kev Ainsworth pula berkata: “Menjijikkan! Sepatutnya Krismas menjadi hari yang baik.
“Semua kanak-kanak cuti sekolah, keluarga bersiar-siar dan ini yang berlaku…sebab itulah kenapa kebanyakan ibu bapa dan orang ramai tidak gemar berkunjung ke bandar sejak akhir-akhir ini.”
Pihak polis Staffordshire mengesahkan ada menerima panggilan berhubung kejadian itu dan dua orang lelaki yang terlibat telah ditahan. – MYNEWSHUB.CC