BUKIT MERTAJAM – Polis berjaya menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah di sekitar daerah Seberang Perai Tengah (SPT) selepas menahan lapan individu termasuk seorang wanita dalam serbuan berasingan di Perai dan Taman Seri Impian, di sini.
Ketua Polis Daerah SPT, ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata dalam serbuan pertama di sebuah rumah flat di Taman Seri Impian, Machang Bubok pukul 5.50 petang pada Selasa, dua lelaki dan seorang wanita berusia 43 hingga 56 tahun ditahan.
“Pemeriksaan dalam rumah itu, polis menemui sebuah beg mengandungi pelbagai jenis dadah antaranya syabu, ketamin dan pil estacy. Semuanya bernilai lebih RM3,000,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Katanya dua lelaki itu mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah serta dadah dan siasatan awal mendapati sindiket itu aktif mengedar dadah sejak tahun lepas.
Beliau berkata dalam serbuan kedua di sebuah rumah di Bandar Perai Jaya, Perai kira-kira pukul 3.30 pagi semalam, polis menahan lima lelaki termasuk seorang warga emas berusia 67 tahun dan merampas dadah heroin.
Nik Ros Azhan berkata polis turut merampas pelbagai peralatan membungkus dadah dan peralatan menghisap dadah bersama lima lelaki berusia 20 hingga 67 tahun berkenaan.
“Berdasarkan siasatan sindiket itu mendapatkan bekalan dadah dalam kuantiti besar sebelum membungkus semula kepada paket-paket kecil dan menjual kepada pelanggan mereka di sekitar daerah SPT,” katanya.
Beliau berkata kesemua mereka kini direman selama enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam perkembangan lain, Nik Ros Azhan berkata polis menahan seorang lelaki berusia 27 tahun di hadapan Flat Juru Height, Juru di sini, pukul 10 malam tadi kerana terlibat dalam kegiatan mencuri motosikal, pecah rumah dan samun bersenjata di sekitar SPT.
Katanya semasa ditahan lelaki itu sedang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan dan pemeriksaan juga mendapati kenderaan berkenaan adalah motosikal curi yang dilaporkan hilang di Perai, baru-baru ini.
“Selain itu, polis turut merampas satu paket dadah jenis heroin dan sebilah pisau lipat serta satu telefon bimbit dipercayai hasil samun. Kami percaya lelaki itu terlibat sekurang-kurangnya 10 kes samun dan pecah rumah di SPT,” katanya. – BERNAMA

