KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan fasa pertama perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Sungai Buloh-Kajang (SBK), yang menjadi tambahan baharu kepada mod pengangkutan awam di negara ini.
Laluan fasa pertama yang melibatkan 12 stesen antara Sungai Buloh dan Semantan dengan jarak sejauh 21 kilometer itu akan mula beroperasi pada 6 pagi esok.
Ia meliputi stesen Sungai Buloh; Kampung Selamat; Kwasa Damansara; Kwasa Sentral; Kota Damansara; Surian; Mutiara Damansara; Bandar Utama; Taman Tun Dr Ismail; Phileo Damansara; Pusat Bandar Damansara dan Semantan.
Hadir sama menyaksikan pelancaran di stesen MRT Kwasa Damansara di sini ialah Timbalan Perdana Menteri Nepal Krishna Bahadur Mahara, Ketua Setiausaha Negara yang juga Pengerusi MRT Corp Tan Sri Dr Ali Hamsa, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani, Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar dan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Seri Shahril Mokhtar.
Sebanyak 120 bas pengantara juga akan disediakan melalui 26 laluan sekitar 12 stesen itu.
Sementara fasa kedua sejauh 30 kilometer membabitkan 19 stesen dari Semantan ke Kajang dijangka beroperasi sepenuhnya bermula 31 Julai 2017. – BERNAMA

