KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengutuk perhimpunan besar-besaran yang bakal dianjurkan secara bersama oleh UMNO dan PAS bagi membantah kekejaman ke atas etnik muslim Rohingnya di Myanmar.
Presiden PKR yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail membayangkan perhimpunan oleh dua parti politik kaum Melayu itu cuma satu upacara bertempik yang tidak mengundang sebarang faedah.
“Janganlah kita setakat simpati dan bertempik tetapi juga bersuara menggunakan kedudukan dan tanggungjawab yang diamanahkan.
“Jika Malaysia benar-benar mengambil serius isu ini, langkah pertama harus diambil iaitu adalah mengiktiraf pelarian Rohingya sebagai pelarian perang,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Kenyataan oleh isteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menjalani hukuman penjara kerana kesalahan meliwat seorang lelaki lain itu bagaimanapun sangat menjengkelkan kerana PKR merupakan juara dalam menganjurkan demonstrasi selama ini.
PKR dan parti sekutunya DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) sering mendakwa perhimpunan menghentam kerajaan Malaysia berhak dilakukan atas nama hak kebebasan bersuara, tetapi mengutuk apabila UMNO dan PAS mahu mengadakan perhimpunan atas nama kemanusian. – MYNEWSHUB.CC

