KUALA LUMPUR – Seorang penganggur yang sebelum ini dipenjara dan didenda kerana mencuri telefon bimbit di Plaza Low Yat, hari ini dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mencederakan seorang mekanik, Februari lepas.
Majistret Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor melepas tanpa membebaskan Shahrul Anuar Abdul Aziz, 23, dan rakannya Muhammad Shameer Zaidi, 19, selepas saksi kedua pendakwaan yang juga mangsa dalam kes itu tidak mahu meneruskan kes itu.
Mangsa, Hamizan Hamzah, 25, seorang mekanik yang sepatutnya memberi keterangan pada hari kedua perbicaraan kes itu memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau tidak mahu memberi keterangan kepada mahkamah dan meneruskan kes.
“Saya tak nak turun naik mahkamah dan susahkan keluarga serta tiada sesiapa pun yang memaksa saya untuk tidak memberi keterangan pada hari ini,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mohd Ashif berkata pihak pendakwaan bersedia untuk meneruskan perbicaraan, namun terpulang kepada budi bicara mahkamah untuk membuat keputusan.
Perbicaraan kes itu bermula pada 1 Julai lepas dengan memanggil saksi pertama, Hafizuddin Hamzah, 27, iaitu abang kepada mangsa.
Kedua-dua tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan di kepala Hamizan, 25, dengan menggunakan parang di hadapan bengkel Mizan Racing Tuned, Jalan Jelatek, di sini pada 3.30 pagi, 20 Februari lepas.
Mereka yang diwakili peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.
Pada 24 Mei lepas, Shahrul Anuar dipenjara empat bulan dan didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, selepas didapati bersalah mencuri telefon bimbit di Plaza Low Yat.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara itu sehingga rayuan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.
Shahrul Anuar juga didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret pada 12 Februari lalu selepas mengaku bersalah memasukkan dadah jenis Methamphetamine ke dalam badannya pada 12 Julai tahun lepas. – BERNAMA

