KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad bersikap kebudak-budakan apabila menuduh kononnya Istana Negara adalah milik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Barisan Nasional (BN).
Beliau berperangai seperti kanak-kanak kecil hanya kerana tidak dijemput menghadiri Istiadat Melafaz dan Menandatangani Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong oleh Seri Paduka Baginda Sultan Muhammad V pada 13 Disember ini.
Mahathir yang kini merupakan sekutu kuat DAP dan Pakatan Harapan turut membuat tuduhan biadap acara mengangkat sumpah Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara itu sebahagian daripada agenda politik parti.
“Rupa-rupanya acara negara adalah sebahagian dari politik parti. Saya minta maaf kerana membuat anggapan yang salah.
“Saya akan ambil ingatan bahawa Istana Negara adalah milik Najib dan Parti Barisan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan di blog beliau hari ini.
Mahathir pada 6 Disember lalu menerima surat dari Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang menyebut undangan ke atas beliau untuk menghadiri Istiadat Melafaz dan Menandatangani Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong dibatalkan.
Mahathir turut dimaklumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bahawa tiada kerusi disediakan untuk beliau pada upacara yang sangat penting kepada negara tersebut.
Hal itu turut mengundang kemarahan orang kuat Mahathir, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang mahu Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja memberi penjelasan mengapa Mahathir tidak dijemput.
Kata beliau, pihak istana harus berkecuali dari politik dan mengamalkan konsep raja berperlembagaan dan institusi raja-raja tidak terbabit dengan hal-ehwal politik.
“Kenapa jemputan keatas Mahathir dibatalkan oleh pihak istana?! Siapa yang arahkan pembatalan tersebut?! Adakah arahan pembatalan dari kerajaan atau istana negara?!
“Sepatutnya semua tokoh-tokoh pemimpin tak kira pro kerajaan atau pun tidak tetapi sebagai rakyat malaysia yang pernah menabur bakti kepada negara mesti dijemput hadir!! Baru nampak sikap berkecuali istana dari politik serta kelihatan amat professional!!” katanya. – MYNEWSHUB.CC

