LEICESTER – Juara bertahan, Leicester semakin tergelincir ke zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris menjelang Tahun Baru selepas tewas 2-0 kepada Everton di laman sendiri malam tadi.
Gol-gol jaringan Kevin Mirallas dan Romelu Lukaku mencetus kekalahan kedua di laman sendiri buat skuad kendalian Claudio Ranieri dalam saingan liga musim ini dan Leicester kini berada di tangga ke-16, hanya tiga mata di atas zon penyingkiran.
Dengan rekod buruk di tempat lawan yang menjejaskan kempen mereka kali ini, Ranieri tampak tertekan dengan prestasi skuadnya yang merosot teruk selepas meraih gelaran Liga Perdana Inggeris Mei lalu.
“Tidak ada apa yang betul, tidak ada apa yang mudah tetapi kami perlu terus bekerja keras dan memberi perhatian kepada perkara-perkara halus dan terperinci,” kata pengendali dari Itali itu. “Hanya butiran halus itu menyebabkan kami jatuh.
Kami perlu bangkit secepat mungkin. Semua bermula baik dalam enam bulan pertama dan kini semuanya serba tidak kena.
Kami perlu terus berjuang.” Selepas 18 perlawanan musim lalu, Leicester mengutip 38 mata.
Ketika ini, mereka akan memasuki tahun baru dengan hanya 17 mata, dan risiko untuk tersingkir cukup besar.
“Kami harus bekerja dan bertindak balas, hanya itu ubat kami. Kami akan cuba melakukan yang terbaik sekali lagi, kami perlu kekal bersama,” kata Ranieri.
Dengan pemain terbaik tahunan PFA musim lalu, Riyad Mahrez, berada di bangku simpanan dan Jamie Vardy digantung perlawanan, Leicester seperti kehilangan taring di barisan depan.
Everton yang masih terasa pedih dengan kekalahan saat akhir kepada Liverpool minggu lalu, membuka jaringan enam minit selepas rehat menerusi Mirallas sebelum Lukaku menambah jaringan di akhir permainan. – Reuters