MELAKA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Melaka merampas pelbagai barangan bernilai RM3.29 juta atas pelbagai kesalahan melibatkan 451 kes bagi tempoh 1 Jan hingga 28 Nov lepas.
Pengarahnya, Jaiya Abu berkata daripada jumlah itu, kira-kira RM1.08 juta melibatkan rampasan mengikut Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993, Akta Hakcipta 1987 (RM928,817.60) dan Akta Perihal Dagangan 2011 (RM892,868.01).
Selain itu, ia turut membabitkan kes mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (RM333,397.56), Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (RM41,037.50), Akta Timbang dan Sukat 1972 (RM16,130) serta Akta Perlindungan Pengguna 1999 (RM172.80).
“Kes tertinggi yang direkodkan dalam tempoh ini adalah Akta Perihal Dagangan 2011 yang melibatkan penipuan harga oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab dengan jumlah 121 kes manakala kes terendah pula adalah di bawah Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993 dengan tiga kes.
“Walaupun kes mengikut Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993 rendah, ia melibatkan kerugian yang paling tinggi dan kita nasihatkan pengguna supaya memeriksa sesuatu jualan langsung dengan pihak berkuasa atau KPDNKK supaya tidak mudah tertipu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas 2016 di sebuah pasar raya besar di sini, hari ini yang turut dihadiri Exco Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Lai Meng Chong.
Jaiya berkata pihaknya juga mengutip denda sebanyak RM300,900 dan mengeluarkan kompaun berjumlah RM79,750 mengikut pelbagai kesalahan dalam tempoh yang sama.
Sementara itu, Jaiya mengingatkan peniaga supaya meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu pada barangan kawalan bagi membezakannya dengan barangan lain dan mempamerkan tanda harga ke atas semua barangan yang dijual.
Dalam pada itu, beliau berkata seramai 69 anggota dan pegawai penguat kuasa KPDNKK dan 24 pemantau harga di semua premis, pasar raya dan pasar basah di negeri itu akan memantau skim kawalan harga sempena sambutan Krismas bermula hari ini sehingga 29 Dis. – BERNAMA

