PETALING JAYA – Seorang kelindan lori didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pemandu bas yang mayatnya ditemui berulat di sebuah kawasan terbiar, minggu lalu.
S. Mathivanan, 32, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Zaki Asyraf Zubir.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mathivanan didakwa membunuh P.Tamil Vanan, 32, di kawasan terbiar, Telaga Hijau, Serdang Lama, Jalan 18/30, Serdang, di sini pada 12.01 tengah malam, pada 1 Dis lalu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Saphirra Selamat manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 10 Jan depan untuk sebutan semula kes dan laporan bedah siasat. – BERNAMA

