MELAKA – Seorang jurujual dipukul gara-gara kereta yang diletakkannya menghalang sebuah kereta lain di hadapan sebuah restoran di Taman Sin Hoe di Bukit Baru di sini, Ahad lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Kamaluddin Kassim berkata jurujual lelaki berusia 26 tahun itu dipukul dua suspek lelaki dalam kejadian pukul 11.30 pagi itu.
Beliau berkata mangsa memakir keretanya di belakang kereta suspek dan meninggalkannya untuk membeli makanan, namun ketika kembali ke keretanya mangsa dipukul bertubi-tubi oleh suspek.
“Mangsa dipukul sebaik tiba di keretanya kerana dikatakan lambat alihkan keretanya walaupun hon telah dibunyikan (suspek) berkali-kali dan rakan suspek kemudian turun daripada kereta dan turut memukul mangsa,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Katanya mangsa yang hendak beredar kemudian terlanggar belakang kereta suspek dan pergaduhan kali kedua berlaku menyebabkan suspek merosakkan bumbung, cermin hadapan, lampu hadapan kanan dan bumper kiri kereta mangsa.
Beliau berkata kedua-dua suspek berusia 30 dan 35 tahun ditahan di sekitar daerah Melaka Tengah pada 8.30 malam hari sama untuk siasatan di bawah Seksyen 323/506/427 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

