KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak melancarkan aplikasi e-komik Boboi di sini, malam tadi.
Salleh meluangkan masa kira-kira satu jam menyaksikan demonstrasi aplikasi berkenaan sambil beramah mesra dengan hadirin.
Aplikasi mobil buatan Vision Works International itu memberi peluang kepada pembaca untuk membaca komik Boboi dengan membuka setiap halaman muka surat seperti kaedah komik konvensional.
Pengguna juga berpeluang menikmati animasi 2D yang berdurasi satu hingga empat minit bagi setiap kandungan cerita yang ditawarkan. Aplikasi itu boleh didapati di sistem operasi Android dan IOS (sistem operasi iPhone).
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Vision Works International dan pembikin filem terkenal, Afdlin Shauki berkata aplikasi berkenaan dibangunkan dengan matlamat untuk memastikan industri komik tanah air sentiasa relevan dan kompetitif.
“Aplikasi ini diharap dapat menjadi satu alternatif terbaik kepada penggemar komik untuk terus membaca mengikut kesesuaian dan peredaran zaman,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran aplikasi berkenaan. – BERNAMA

