ALOR SETAR – Imigresen Kedah menahan 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Thailand dalam serbuan ‘Op Ikrar’ di tiga restoran berasingan sekitar Bandaraya Alor Setar, Ahad lepas.
Ketua Bahagian Penguatkuasa Imigresen Kedah Mohd Shahrir Khalil berkata dalam operasi 6.25 petang itu, 10 lelaki serta lima wanita Thailand berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun ditahan.
“Kami telah memeriksa 33 PATI pelbagai warganegara dan menahan 15 daripadanya kerana melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu menyalahgunakan pas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Shahrir berkata semua yang ditahan ditempatkan di lokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserah ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik. – BERNAMA

