KUALA LUMPUR – DAP hari ini mengiktiraf penganjur demonstrasi anti kerajaan Bersih 5, Maria Chin Abdullah sebagai patriot negara yang harus disanjungi oleh setiap rakyat.
Justeru, DAP mahu pihak polis melayan Maria Chin sebagai seorang patriot, bukan seperti tahanan lain dibawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).
“Beliau harus dianggap sebagai seorang patriot di Malaysia,” kata Penasihat parti itu, Lim Kit Siang dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau dalam pada itu turut mendakwa kononnya pihak polis tiada asas untuk menahan Maria Chin dan menggesa supaya penganjur Bersih 5 itu dibebaskan dengan segera.
Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali semalam bagaimanapun menjelaskan penahanan Maria Chin dibawah SOSMA sah disisi undang-undang.
Beliau dipetik berkata, Maria Chin ditahan berkaitan kesalahan keselamatan bagi mengekalkan ketenteraman awam dan keselamatan negara.
Jelas beliau, SOSMA bukan hanya berkaitan dengan aktiviti keganasan tetapi merangkumi aktiviti-aktiviti yang mahu menjejaskan demokrasi berparlimen di negara ini.
Maria Chin pada 19 November lalu menganjurkan demonstrasi anti kerajaan Bersih 5 dengan kerjasama parti pembangkang namun perhimpunan itu gagal mendapat sambutan rakyat.
Bersih 5 mendakwa demonstrasi jalanan itu bagi memperjuangkan hak rakyat dan pilihan raya yang bersih tetapi umum mengetahui bahawa ia sebenarnya sebuah perhimpunan politik.
Pemimpin dan penyokong pembangkang mengambil peluang melontarkan pelbagai dakyah berhubung penahanan itu di media sosial bagi menimbulkan persepsi buruk ke atas kerajaan. – MYNEWSHUB.CC

