SUBANG – Peranan alumni universiti adalah penting dalam usaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan pihak universiti meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata selain berkongsi pengalaman, alumni juga boleh membantu membimbing siswazah menceburi bidang keusahawanan agar mereka boleh mula menjana pendapatan sendiri.
“Dalam Buku Penjanaan Pendapatan KPT yang diberikan kepada universiti pun memang kita mahu mereka (universiti) ambil kira dan guna elemen-elemen yang ada.
“Alumni boleh memberikan pelbagai bentuk bantuan seperti menjadi mentor kepada para siswazah dan memberi bantuan kewangan kepada universiti,” katanya pada sidang media selepas tamat program ‘Soaring Upwards: Let’s Talk Higher Education’ di sini, hari ini.
Program anjuran KPT itu bertujuan menyebar luas maklumat pendidikan tinggi Malaysia serta kejayaan dicapai di peringkat nasional dan antarabangsa.
Program sehari yang diadakan di Sunway University itu juga merupakan kesinambungan Program Jelajah KPT: Soaring Upwards yang telah diadakan pada Januari hingga April 2016.
Pada program hari ini, satu sesi perkongsian yang menampilkan ikon terdiri daripada selebriti, wakil industri, alumni dan pensyarah turut diadakan untuk berkongsi pengalaman mereka dan menyelami pendidikan tinggi Malaysia.
Antara ikon tersebut ialah Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia Vicki Treadell, pelakon dan usahanita Ummi Nazeera dan usahawan Joel Neoh, yang juga alumni Sunway University.
Pada sesi berkenaan, Treadell dalam perkongsiannya berkata rakyat Malaysia sepatutnya berbangga dengan usaha KPT untuk mencorakkan semula pendidikan tinggi negara.
“Malaysia mempunyai asas dan potensi yang kukuh dan baik untuk mencapai kecemerlangan dalam pendidikan tinggi. Britain pasti berminat untuk terus menjadi rakan pendidikan dengan Malaysia,” katanya.
“Terdapat lebih banyak universiti Britain di Malaysia berbanding di China. kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan sedang mencipta satu ekosistem menarik untuk pendidikan,” tambah beliau. – BERNAMA
