TAWAU – Jabatan Imigresen Tawau menahan lima pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Op Ikrar di beberapa lokasi di sini, semalam.
Ketua Pejabatnya Noraini Rasi berkata kesemua lima pati ditahan dalam serbuan bermula 10 pagi itu, terdiri daripada empat warga Indonesia dan seorang rakyat Filipina.
“Turut ditahan seorang majikan tempatan, dan kesemua mereka berumur 24 hingga 43 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata sepanjang operasi berkenaan, 46 orang diperiksa di kawasan kedai, stesen bas, kawasan perumahan dan Jalan Apas.
Noraini berkata kesemua PATI itu ditahan mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan dan pengenalan diri yang sah.
“Sementara, majikan terbabit ditahan mengikut Seksyen 55 (b) akta sama,” katanya. – BERNAMA

