PETALING JAYA – Rakyat Malaysia digalakkan mengamal pembelajaran fleksibel sebagai langkah meningkatkan lagi sistem pendidikan negara, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.
Beliau berkata pembelajaran fleksibel boleh didapati dalam bentuk pembelajaran bersemuka, pembelajaran dalam talian, kursus terbuka meluas dalam talian (MOOCs) dan pembelajaran melalui pengalaman di tempat kerja.
“Pembelajaran fleksibel dilihat sebagai ruang luas yang memberi tumpuan kepada penawaran pendidikan pada bila-bila masa, di mana-mana jua kepada sesiapa sahaja,” katanya ketika merasmikan Seminar Antarabangsa mengenai Jaminan Kualiti Pendidikan Tinggi Agensi 2016 di sini, hari ini.
Kira-kira 300 peserta dari negara-negara Islam menyertai seminar itu yang dianjurkan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Persatuan Jaminan Kualiti Agensi Dunia Islam (IQA).
Idris berkata pendidikan fleksibel juga membolehkan pelajar menambah nilai ilmu pengetahuan dan kemahiran mereka, seperti pelajar kejuruteraan boleh mempelajari kemahiran usahawanan pada masa yang sama.
Beliau berharap seminar dua hari itu, yang bermula hari ini, menjadi platform terbaik untuk berkongsi dan berbincang trend pendidikan terkini dan inisiatif baharu pendidikan tinggi.
Bercakap kepada pemberita kemudian, Idris berkata Malaysia menerajui pendidikan fleksibel peringkat global menerusi pelbagai kaedah pendidikan seperti Akreditasi Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) di universiti-universiti tempatan tahun ini. – BERNAMA

