Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Pakar pendidikan, Anuar Ahmad mengingatkan kepimpinan pendidikan di pelbagai peringkat supaya berhati-hati terhadap kelompok yang disifatkannya sebagai ‘penjilat tegar’ kerana boleh merosakkan sistem secara perlahan-lahan.
Menurut beliau, dalam ruang pendidikan terdapat empat kumpulan manusia yang lazimnya mengelilingi seseorang pemimpin.
“Kumpulan kedua adalah ‘penjilat tegar’. Buatlah apa pun, semuanya terbaik. Anda buat keputusan yang salah dan mungkin merosakkan pendidikan anak-anak pun mereka tetap akan kata terbaik. Mereka tiada ilmu pendidikan. Mereka hanya ada ‘tong kosong’.
“Mereka bila memuji berlebih-lebihan. Mereka akan bermati-matian pertahankan keputusan pemimpin walaupun dengan hujah yang bodoh dan dangkal. Apa yang mereka harapkan, anda sebagai pemimpin sentiasa nampak mereka di depan mata anda,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Anuar berkata, jika seseorang pemimpin kerap membuat keputusan ‘u-turn’ atau ‘flip flop’, ia berkemungkinan petanda dikelilingi kumpulan berkenaan.
“Mereka ini tidak membawa kebaikan kepada kepimpinan anda. Tanpa disedari, merekalah punca kerosakan berterusan secara perlahan-lahan. Selepas anda tiada kuasa, mereka akan mencari ‘tuan’ baharu,” katanya.
Anuar menyarankan pemimpin mendekati kumpulan ketiga iaitu mereka yang mengkritik berasaskan data dan fakta serta memuji secara sederhana kerana golongan tersebut mampu menyumbang kepada kemajuan sistem pendidikan negara.
Beliau turut mengingatkan agar kritikan yang membina tidak dijadikan musuh hanya kerana menyentuh ego kepimpinan.
Terdahulu, katanya, kelompok pertama yang dimaksudkan adalah pengkritik tegar iaitu apa sahaja yang dilakukan oleh pimpinan pendidikan tidak betul.
“Semuanya dilihat salah malah dicari-cari kesalahan walaupun kecil. Tujuan kritikan mereka bukan untuk mencari penyelesaian, tetapi yang bersifat pemikiran kepembangkangan.
“Buatlah apa juga kebaikan untuk pendidikan akan tetap salah di mata mereka. Banyak masa terbazir jika dilayan kritikan mereka.
“Satu lagi kumpulan jenis langsung tak kisah apa terjadi pada pendidikan negara. Mereka ikut sahaja. Rasanya tak perlu kita bincang tentang kumpulan ini. Ada atau tiada, sama sahaja,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber: FB Anuar Ahmad


