KOTA BHARU – Juara bertahan Piala Presiden, Kelantan memburu jaringan selesa dalam pertemuan dengan T-Team di perlawanan akhir pertama di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini, malam esok.
Ketua jurulatihnya, Hashim Mustapa berkata pemainnya sedar mereka memerlukan bekalan selesa sebelum bertandang ke gelanggang lawan untuk melengkapkan final timbal balik itu pada 20 Okt.
“Saya tidak mahu pemain mengambil mudah perlawanan malam esok walaupun sebelum ini kami menewaskan pasukan T-Team dalam perlawanan persahabatan pada awal musim,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, jurulatih T-Team, Mohd Nafuzi Zain yang merupakan bekas jurulatih skuad Piala Presiden Kelantan musim lalu, tentunya mengetahui corak permainan pasukan Kelantan.
Sementara itu, Mohd Nafuzi berkata pasukannya mahu menjadi pasukan kelab pertama menjuarai piala tersebut.
“Kami menaruh harapan untuk mencipta kemenangan selesa di Kota Bharu bagi membawa pulang bekalan ke Terengganu bagi final kedua untuk merealisasikan misi pasukan kami,” katanya. – BERNAMA