PETALING JAYA – Pelakon Johan As’ari memberitahu semakin penat apabila sering diberikan watak baik atau pun seorang ustaz menerusi drama lakonannya sepanjang lima tahun lalu.
Pemilik nama sebenar Johan Arrif As’ari, 30, ini berkata, sudah tiba masanya dia lebih selektif terhadap projek lakonannya kerana sering diberikan peranan hampir sama.
“Selepas drama bersiri Juvana saya tidak lagi menerima sebarang tawaran untuk memegang watak antagonis kerana sering diberikan watak baik, romantik atau pun seorang ustaz.
“Juvana pun sudah lima tahun berakhir dan harus diakui saya semakin penat apabila sering memegang watak hampir sama,” katanya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, Johan berkata, dia sebelum ini tidak menolak tawaran diberikan kepadanya kerana menyedari perlu mengikut rentak industri selain melihat faktor persaingan dikalangan pelakon lelaki sedia ada.
Malah katanya, peminat juga menyukai apabila dia membawakan peranan baik dalam drama atau filem lakonannya membuatkan dia tidak bersikap memilih.
“Apabila sudah ditawarkan saya terima sahaja kerana ini punca rezeki saya selain peminat pun suka apabila saya bawa watak baik.
“Itu juga adalah realiti industri kerana tidak banyak watak yang ada tambahan pula persaingan cukup sengit,” ujarnya.
Sementara itu, Johan berkata, dia sudah bersedia untuk kembali membawakan peranan antagonis kerana baginya ia mencabar kebolehannya sebagai pelakon.
Bagaimanapun kata Johan, watak baik juga bukan mudah dilaksanakan namun apabila sudah terlalu biasa dengan peranan itu dia ingin melakukan sesuatu berbeza daripada kebiasaan.
“Saya sudah bersedia untuk fokus kepada watak antagonis pula tetapi biarlah ia berbeza daripada Juvana,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Johan berkata, tiga filem lakonannya iaitu Bopeng, Tujuh dan Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior bakal menemui penonton tidak lama lagi. – mStar Online