PUTRAJAYA – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar membidas kerajaan Selangor kerana gagal menguruskan masalah pencemaran sungai sehingga menyebabkan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih walaupun masalah sama telah sembilan kali berlaku.
Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata kilang-kilang haram berdekatan Sungai Semenyih tidak sepatutnya dibiarkan bermaharajalela sehingga menjadi punca pencemaran itu berlaku.
“Gerai peniaga kecil pandai pula robohkan, kenapa kilang-kilang haram ini tidak dirobohkan?
“Sepatutnya ambil tindakan tegas, janganlah bila berlaku baru hendak ambil tindakan,” katanya mengulas isu penutupan LRA Semenyih pada Selasa lepas, akibat pencemaran Sungai Semenyih, selepas ia ditutup pada 22 hingga 24 Sept berikutan masalah sama.
Berikutan insiden itu, beberapa kawasan di daerah Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Petaling mengalami gangguan bekalan air.
Noh yang ditemui pemberita selepas sesi ‘townhall’ Pelan Induk Kesejahteraan Rakyat di Bandar di sini hari ini, berkata kerajaan Selangor sepatutnya mempunyai program tersusun untuk mengatasi masalah pencemaran sungai dalam jangka panjang bagi mengelak kejadian seumpama itu berulang.
“Saya tidak hairan jika masalah ini berulang lagi kerana dasar kerajaan negeri ketika ini, bila berlaku baru hendak siasat, sepatutnya sudah rancang atasi masalah untuk 10 tahun akan datang,” katanya. – BERNAMA