KUALA LUMPUR – Tempoh reman ke atas seorang pengarah syarikat yang ditahan berhubung kes pencemaran air di Taman Velox, Rawang, disambung tiga hari lagi sehingga 23 November ini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai, berkata suspek yang tamat reman hari ini akan disambung reman selama tiga hari bagi membolehkan polis meneruskan siasatan kes berkenaan.
“Suspek disambung reman selama tiga hari sehingga 23 November,” katanya dalam satu kenyataan ringkas, hari ini.
Suspek berusia 58 tahun itu dikenal pasti sebagai pengarah syarikat yang membekalkan bahan kimia, ditahan di Pusat Perindustrian Tengas, Ulu Yam, Hulu Selangor pada 12 November lalu sekitar jam 6.30 petang.
Lelaki itu kemudian direman selama tujuh hari sejak 13 November lalu mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
Lelaki berkenaan adalah suspek kelima yang ditahan secara berasingan dalam kes pencemaran sungai Selangor yang memaksa loji rawatan kumbahan Indah Water Konsortium Rantau Panjang di Taman Velox, Rawang ditutup.
Suspek dipercayai menjual sisa-sisa bahan buangan kimia berjadual yang dijumpai di Taman Velox itu kepada seorang suspek daripada empat tangkapan pertama.
Pada 11 November lalu, empat lelaki termasuk termasuk seorang lelaki warga Bangladesh ditahan di beberapa lokasi berasingan di Gombak, Damansara dan Kelana Jaya berhubung kes itu. – BH Online