KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat biskut tempatan mahu pihak pihak pendakwaan mengkaji semula pertuduhannya membawa kereta mewah Lamborghini miliknya yang berdaftar di Pulau Langkawi keluar dari pulau itu melebihi tempoh ditetapkan.
Peguam Leong Pak Yiew yang mewakili tertuduh, Soo Chung Yee, 37, memaklumkan pihaknya akan mengemukakan representasi kepada Pejabat Peguam Negara supaya pertuduhan itu dikaji semula.
Beliau berkata demikian semasa kes itu disebut di hadapan Majistret Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor di sini, hari ini.
Mahkamah menetapkan 30 November untuk sebutan semula kes itu.
Pada 8 Sept lepas, lelaki itu didakwa melanggar syarat butiran 21A Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 1988 iaitu gagal mengemukakan semula kenderaan berdaftar di Pulau Langkawi jenis Lamborghini Gallardo Spyder My12 bernombor pendaftaran LD6666 kepada pegawai kastam di Pulau Langkawi pada 3 Okt 2012.
Tertuduh, yang masih bujang, didakwa membawa keluar kereta berkenaan melebihi tempoh 30 hari yang ditetapkan bagi satu perjalanan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Sadra Motor Sdn Bhd, Lot 2808A, Jalan Kampung Sungai Penchala, Damansara di sini pada 12 tengah hari, 3 Mac 2014.
Bagi kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 138 Akta Kastam 1967 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Muhammad Sobirin Mohd Seman. – BERNAMA