Kuala Lumpur : Teka-teki siapa bakal menerajui Harimau Malaya akhirnya terungkai apabila Robert Douglas Friend atau lebih dikenali sebagai Rob Friend dari Kanada diumumkan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pasukan Kebangsaan.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Menerusi kenyataan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan bahawa Rob Friend yang juga bekas pemain menjadi peneraju utama dalam struktur organisasi baharu bagi revolusi skuad Harimau Malaya.
Sebagai rekod, Rob Friend beraksi di posisi penyerang dengan antara kelab yang pernah diwakilinya ialah kelab Norway, Moss FC dan Molde FK, kelab Jerman, Borussia Monchengladbach, Hertha Berlin, Eintracht Frankfurt dan 1860 Munich serta kelab Amerika Syarikat, LA Galaxy pada 2014.
“Dalam pasukan kebangsaan Kanada pula, beliau membuat sebanyak 32 penampilan antarabangsa bermula dari 2003 ketika berusia 22 tahun sehingga 2011 ketika beliau berusia 30 tahun.
“Berasal dari Rosetown, Saskatchewan, Canada, Rob Friend yang bakal berusia 44 tahun pada 23 Januari ini hadir dengan portfolio hebat menerusi pembabitannya dalam bidang pengurusan dan pentadbiran bola sepak selepas beliau bersara sebagai pemain pada Disember 2014.
“Rob Friend bermula sebagai rakan kongsi pengurusan di DRG Investment Group, sebuah syarikat pelaburan dan pengurusan hartanah dari 2014 sehingga kini.
“Kemudian dari 2017 hingga 2021, beliau menjadi pengasas Toca Football Canada, teknologi latihan khusus bola sepak dan keluar dengan penuh berjaya apabila peningkatan modal syarikat berkenaan mencecah AS$150 juta (RM669 juta),” kata kenyataan itu.
Selain itu, antara pembabitan terbesar beliau ialah menjadi salah seorang pengasas bersama liga bola sepak profesional Kanada, Canadian Premier League (CPL) dan berjaya meningkatkan nilai liga tersebut dari AS$0 sehingga AS$300 juta dalam tempoh enam tahun.
“Rob Friend juga pernah menerajui kepimpinan tertinggi pengurusan dan pentadbiran dua kelab yang beraksi di CPL iaitu sebagai CEO dan pengasas bersama Pacific FC dari 2019 hingga 2022 serta sebagai Presiden dan pengasas bersama Vancouver FC dari 2022 hingga kini,” katanya.
Pengalaman yang dimiliki beliau ketika sebagai pemain serta dalam bidang pengurusan dan pentadbiran diharap mampu memberikan satu suntikan baharu dalam menguruskan perancangan dan program membabitkan pasukan kebangsaan terutama skuad senior dan B-23 kebangsaan pada tempoh permulaan ini.
Mengikut rekod, pada 16 Disember 2024, FAM mengumumkan Peter Cklamovski dari Australia sebagai ketua jurulatih kebangsaan manakala Nafuzi Zain sebagai ketua jurulatih B-23 kebangsaan berkuat kuasa pada 1 Januari 2025.
-Harian Metro