KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi menetapkan 13 Jun 2017 bagi perbicaraan kes saman fitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap bekas calon Barisan Nasional (BN) Permatang Pauh dan dua lagi atas dakwaan mengaitkannya terlibat dengan rasuah membabitkan badan kehakiman dan Pejabat Peguam Negara.
Hakim Datuk John Louis O’hara menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya hari ini selepas bertemu peguam Sangeet Kaur yang mewakili Anwar dan Lim Qi Si mewakili Sistem Televisyen Malaysia (TV3).
Sangeet memberitahu pemberita bahawa plaintif akan memanggil dua orang saksi termasuk Anwar pada perbicaraan kes itu yang ditetapkan selama empat hari mulai 13 Jun tahun depan manakala Lim memberitahu pihaknya akan memanggil tiga orang saksi.
Pada 15 Oktober tahun lepas, Anwar, memfailkan saman itu dengan menamakan Dr Mazlan Ismail, TV3 dan Utusan Melayu (M) Bhd, sebagai defendan pertama hingga ketiga.
Anwar mendakwa Mazlan telah menyebabkan TV3 menyiarkan perkataan fitnah yang disiarkan menerusi Buletin Utama pada 8 malam, 2 Ogos 2013 dan mendakwa Mazlan juga menyebabkan perkataan fitnah itu diterbitkan di akhbar Utusan Malaysia bertarikh 3 Ogos 2013.
Beliau mendakwa Mazlan mengadakan persidangan media yang mengandungi perkataan fitnah yang serius dan berniat jahat membawa maksud beliau seorang yang tidak beretika, terlibat dalam rasuah, melakukan aktiviti berunsur jenayah, tidak jujur dan tidak bermoral.
Anwar menuntut ganti rugi am, teruk, dan teladan serta perintah injunksi yang menghalang defendan daripada mengulangi atau menyiarkan semula perkataan fitnah itu. – BERNAMA

