KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyifatkan Bajet 2017 membantu kementerian itu dalam memperkasakan kumpulan sasarnya seperti wanita, kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU).
Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata dalam bajet yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat semalam, keprihatinan kerajaan diteruskan dengan mengekalkan pemberian Bantuan Am sehingga RM300 sebulan dan Bantuan Kanak-kanak RM450 sebulan yang bakal memberi manfaat kepada sejumlah 69,000 keluarga.
“Selain itu, bantuan sedia ada kepada warga emas turut dikekalkan iaitu sebanyak RM300 sebulan yang bakal memberi manfaat kepada seramai 120,000 orang warga emas,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Dalam mensejahterakan kebajikan warga emas di negara ini, katanya lapan buah Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) bakal diwujudkan sebagai persediaan menghadapi negara tua menjelang 2035.
Inisiatif lain termasuk pelepasan cukai RM1,000 yang akan diberi kepada pembayar cukai individu yang menghantar anak berumur enam tahun ke bawah ke taman asuhan dan prasekolah yang berdaftar menggalakkan ibu bapa menghantar anak ke Taska yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan pengasuhan yang diperoleh adalah berkualiti dan selamat.
Katanya pelbagai insentif seperti memberi pelepasan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada kira-kira 387,122 OKU berdaftar dengan JKM untuk membeli peralatan bantuan tanpa melalui Entiti Kebajikan Swasta, akan memastikan kebajikan golongan ini terpelihara.
Selain itu, skop barang yang layak mendapat pelepasan juga akan diperluaskan.
Rohani berkata peranan golongan wanita sebagai penyumbang pertumbuhan ekonomi negara turut diberikan perhatian apabila sebanyak RM2 bilion diperuntukkan bagi program pemerkasaan wanita di bawah Jabatan Pembangunan Wanita antaranya Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal (I-KIT), IkeuNita dan Women Career Comeback.
Selain itu, katanya aspek kesihatan turut dititikberatkan apabila RM30 juta diperuntukkan kepada kaum wanita untuk menjalani pemeriksaan mamogram dan suntikan imunisasi HPV secara percuma untuk mencegah kanser serviks. – BERNAMA