KUALA LUMPUR – Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menasihatkan pasangan yang sudah berkahwin menimbang untuk menggabungkan perbelanjaan dan mempunyai matlamat persaraan bersama bagi mengelak perbelanjaan berlebihan ke atas aset mereka.
Ketua Jabatan Pendidikan Kewangan AKPK, Nor Akmar Yaakub berkata saranan itu bertujuan memastikan pasangan tidak terperangkap sekiranya sesuatu berlaku ke atas salah seorang daripada mereka.
“Memandangkan mereka telah berkahwin, mereka perlu mempunyai matlamat yang sama ke atas pendapatan, perbelanjaan, simpanan serta persaraan,” katanya dan menambah mereka perlu merancang semua ini bersama-sama supaya memiliki simpanan yang lebih baik apabila mencapai umur bersara.
Beliau berkata kajian menunjukkan ramai pasangan, sebelum berkahwin, tidak membincangkan mengenai hutang mereka.
Pasangan tidak perlu berahsia. Apabila berkahwin, semua perbelanjaan dan hutang perlu dipantau bersama-sama. Namun pada masa ini pasangan banyak berahsia,” kata Nor Akmar pada taklimat media mengenai pelan persaraan, baru-baru ini.
“Kita perlu menggabungkan dan melihat apa yang ada untuk disimpan dan mengkaji struktur kewangan sebagai satu keluarga. Cakap memang senang tapi sukar dilakukan, namun inilah yang wajar kita lakukan,” katanya.
Nor Akmar berkata ramai orang tidak tahu memilih keutamaan, cara menyediakan bajet dan hidup berdasarkan kemampuan mereka.
Beliau berkata pendidikan kewangan penting, dan rakyat Malaysia perlu mempunyai pengetahuan kewangan yang kukuh supaya mereka tidak mudah tergoda dan membeli barangan tidak perlu.
Rakyat Malaysia perlu belajar untuk hidup mengikut kemampuan mereka. Memandangkan barangan kini mahal dan kos hidup yang tinggi, orang ramai perlu belajar untuk berbelanja dengan bijak,” katanya.
Nor Akmar berkata perancangan untuk persaraan penting disebabkan akhirnya semua orang akan menjadi tua, dan pasangan mempunyai pilihan sama ada mahu bersara dengan selesa atau melalui kesusahan.
Perancangan sangat penting kerana pada dasarnya orang tidak tahu berapa banyak yang mereka perlukan selain persoalan mengenai kos hidup yang tinggi. Segala-galanya telah meningkat. Di sinilah pentingnya pengurusan kewangan,” katanya.
Bagi mereka yang berkahwin lambat, merancang untuk persaraan penting memandangkan mereka mungkin mempunyai anak pada usia lewat, katanya.
Beliau menasihati rakyat Malaysia supaya menyelesaikan hutang mereka sebelum bersara.
Nor Akmar berkata saban hari, AKPK berhadapan pengguna yang menghadapi masalah kewangan, keliru dengan konsep aliran tunai mereka akibat berbelanja besar dan hidup mewah melepasi kemampuan.
“Agensi itu membantu mereka menerusi Program Pengurusan Hutang (DMP) dan menjangkakan lebih ramai lagi akan menyertai program itu tahun ini,” katanya.
AKPK akan berbincang dengan individu mengenai cara menguruskan wang dan aset tunai, merancang bajet dan menguruskan hutang dengan berkesan dan melabur dalam skim simpanan dan pelaburan, kata Nor Akmar.
AKPK menawarkan perkhidmatan percuma, termasuk pendidikan kewangan, kaunseling dan DMP, dan telah membantu lebih 10,000 orang menyelesaikan hutang tertunggak menerusi DMP.
Individu ini berjaya membayar jumlah terkumpul RM443.8 juta sehingga 31 Julai 2016.
Sehingga tarikh tersebut, 460,031 individu menghadiri perkhidmatan kaunseling AKPK dan daripada jumlah itu, 156,892 individu mendaftar untuk DMP.
AKPK menyasarkan 1,700 lagi individu akan mengikuti DMP sehingga hujung tahun ini. – BERNAMA