GEORGE TOWN – Enam pendaki termasuk dua remaja lelaki yang dilaporkan sesat ketika turun dari Bukit Bendera, di sini ditemui dalam keadaan selamat malam tadi.
Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Rozairi Abdul Rahim berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada polis pada 10.04 malam dan terus melancarkan operasi mencari tiga lelaki, seorang wanita dan dua remaja berkenaan yang berusia 15 hingga 40 tahun.
“Kami menerima maklumat terdapat enam pendaki dipercayai terdiri daripada anggota keluarga yang sesat antara penanda ketinggian dua dan tiga menyebabkan mereka gagal turun ke kaki bukit.
“Seramai enam anggota bomba dari Balai Bagan Jermal bersama tujuh anggota polis melancarkan operasi mencari dengan melalui laluan yang telah digunakan mangsa ketika mendaki bagi mencari dan menyelamat mereka,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata pasukan penyelamat yang cuba mengesan mereka mengikut trek pendakian, menemui kumpulan pendaki berkenaan kira-kira 11.30 malam dalam keadaan lemah dan letih.
Rozairi berkata semua pendaki itu kemudiannya dibawa ke penanda ketinggian dua di Bukit Bendera, sebelum dibawa turun ke kaki bukit menggunakan kenderaan Toyota Hilux milik bomba.
Katanya semua mangsa dilaporkan dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Operasi mencari dan menyelamat yang disertai lebih 50 orang termasuk bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Pasukan Bomba Sukarela itu ditamatkan pada 1.36 pagi tadi,” katanya. – BERNAMA

