KANGAR – Lebih 2,000 nelayan bot kecil pesisir pantai Kuala Perlis, di sini terpaksa menghadkan tangkapan di kawasan tidak melebihi tiga batu nautika dari pantai berikutan fenomena air pasang besar.
Pengerusi Persatuan Nelayan Perlis Selatan, Romly Sabu berkata walaupun fenomena itu ibarat ‘asam garam’ bagi nelayan, mereka tidak berani ke laut atas faktor keselamatan.
Katanya, biarpun ada nelayan yang tetap ke laut pada waktu air surut, mereka pastinya masih dibelenggu perasaan tidak tenteram.
“Saya difahamkan ada juga antara nelayan di sini yang tiada pilihan dan terpaksa kuatkan hati menangkap ikan di laut untuk mencari pendapatan menyara keluarga,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Romli berkata hasil tangkapan masih kurang berbanding hari-hari biasa walaupun mereka keluar seawal 6 pagi dan pulang ke darat sebelum 1 tengah hari.
Air pasang tertinggi di pesisir pantai di sini berlaku pada pukul 12.30 tengah malam tadi dan 1 tengah hari ini iaitu setinggi 3.3 meter tetapi keadaan masih terkawal dan tiada pusat pemindahan dibuka di Perlis setakat ini. – BERNAMA

