LUMUT – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir hari ini mendedahkan ada pihak yang dipertanggungjawabkan untuk mengagihkan tanah kepada rakyat, menyalahgunakan kuasa demi keuntungan sendiri.
Beliau berkata pihak tidak bertanggungjawab itu dipercayai menggunakan nama dan nombor kad pengenalan penduduk di sesebuah kampung untuk memohon tanah yang kemudian diserah kepada orang lain.
“Kita dapati kakitangan dan pegawai yang dipertanggungjawabkan mengagihkan tanah kepada golongan berpendapatan rendah, yang memerlukan tapak rumah, telah mengambil kesempatan untuk memasukkan nama tertentu.
“Tanah yang diberikan menggunakan nama orang kampung sedangkan orang kampung tidak tahu menahu tentang perkara itu (permohonan tanah),” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian geran hak milik Mukim Lekir dekat sini hari ini.
Pada majlis itu, seramai 121 penduduk dari Kampung Batu 14, Batu 15 dan kawasan Felcra Kayan menerima geran tapak rumah serta pertanian.
Sehubungan itu, Zambry memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap individu atau kumpulan yang didapati menyalahgunakan kuasa bagi kepentingan sendiri dalam urusan pengagihan tanah kepada rakyat.
Beliau turut meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pihak tidak bertanggungjawab tersebut.
Zambry berkata kerajaan akan sentiasa memberi geran hak milik kepada mereka yang layak bagi memastikan kesejahteraan dan keselesaan hidup rakyat, tetapi ia perlu mengikut peraturan dan undang-undang.
“Kita juga sedang berusaha menyelesaikan penempatan masyarakat terutama perkampungan yang belum diwartakan sebagai tempat penempatan walaupun ia telah lama didiami.
“Kerajaan negeri akan membuat penilaian di kawasan tertentu dan melihat hak milik tanah sama ada dimiliki kerajaan atau individu seterusnya mencari penyelesaian terhadap penempatan itu,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Zambry berkata pihaknya telah membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Senam di sini petang semalam berhubung penyebaran surat palsu mengenai pengisytiharan pelantikan Kesultanan Melayu Perak ke-36.
Zambry berkata individu yang menghantar surat berkenaan juga berjanji untuk memberi kerjasama dalam mengesan pihak yang mengarahkannya berbuat demikian.
Menggunakan kepala surat Pejabat Menteri Besar, surat palsu itu menyebut bahawa Zambry mengisytiharkan individu tidak dikenali iaitu Sultan Badaruddin Alang Diwakis sebagai Sultan Perak ke-36. – BERNAMA

