SEMPENA menjayakan program Walk for World Quran Hour, pelakon dan penerbit popular, Datuk Rosyam Nor meluahkan kesanggupan berjalan kaki dari Masjid Karangkraf, Shah Alam ke Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UniÂversiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak.
Perkara itu akan dilakukan Rosyam yang juga merupakan ikon Rumah Ngaji selepas selesai solat Subuh pada Khamis ini.
Bintang terkenal itu dijangka tiba di UIAM kira-kira pukul 4 petang hari yang sama.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Marhaini Yusoff berkata, jumlah jarak keseluruhan perjalanan yang bakal dilalui Rosyam adalah 47.2 kilometer.
“Inisiatif program Walk for World Quran Hour ini lahir daripada cetusan idea Rosyam sebagai usaha kemuncak untuk terus mengajak orang ramai meÂmenuhi Masjid Sultan Haji Ahmad Shah.
“Perjalanan ini adalah deÂngan niat untuk terus mengajak masyarakat kembali berinteÂraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amalkan sehingga melahirkan akhlak sebaÂgai Muslim sejati,” katanya kepada sebuah akhbar tempatan.

Tambah Marhaini, penganjuran aktiviti itu diharap dapat menarik minat para pemimpin, pelajar dan orang ramai menyertai program World Quran Hour.
Difahamkan, antara kawasan yang dilalui Rosyam dalam Walk for World Quran Hour ialah Taman Megah, Damansara Jaya, Damansara Utama, Taman Tun Dr. Ismail, Kepong, Batu Caves dan Sri Gombak.
Semasa aktiviti berjalan kaki ini, Rosyam dan peserta-peserta lain dijadual berhenti untuk meÂnunaikan solat zuhur dan mengedarkan risalah World Quran Hour di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr. Ismail
Program World Quran Hour yang diÂsambut di seluruh dunia akan berlangsung di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM mulai pukul 9 pagi, Ahad ini. – MYNEWSHUB.CC
