TOKYO – Usia semakin tua dan tenaga pun berkurangan, namun itu bukan penghalang kepada lebih 20 orang nenek yang berjiwa muda untuk menyertai kegiatan kumpulan sorak atau ‘cheerleading’.
Lengkap dengan pakaian seragam warna merah jambu dan pom pom kelabu, Fumie Takino, berusia 84 tahun; menemui jiwa muda beliau dalam kegiatan kumpulan sorak tempatan, menurut media Jepun.
Menerusi rakaman video agensi berita AFP yang dimuat naik menerusi laman YouTube, dia bersama-sama kumpulan yang semuanya tergolong daripada nenek-nenek, begitu ligat menari.
Aksi lincah pantas mereka serentak mengikut irama lagu rancak ‘Dreamgirls’ yang dimainkan meskipun ia membuatkan mereka mungkin agak termengah-mengah dan berpeluh-peluh.

Takino menerajui kumpulan itu sejak dua dekad yang lalu dan menubuhkan skuad Japan Pom Pom setelah beliau jatuh cinta dengan kegiatan tersebut pada usia 60-an, walaupun ia lazimnya dilakukan oleh gadis-gadis remaja.
“Anda perlu berusia 55 tahun dan ke atas,†katanya sambil merujuk kepada usia minimum yang melayakkan seseorang untuk menyertai kumpulan beliau, yang secara purata anggotanya berusia sekitar 70 tahun.
“Sebaik sahaja anda telah mencecah usia 70 tahun, anda terpaksa akur bahawa anda mungkin tidak mampu lagi untuk meneruskannya,†tambah Takino sambil tersenyum.
Jepun sememangnya dikenali dengan warga tuanya yang lincah dan cergas – malah golongan wanita mampu hidup sehingga purata usia 87 tahun manakala lelaki sehingga 80 tahun.

Namun pada 10 tahun terakhir hidup, ramai yang mengalami sakit-sakit fizikal dan mental. Namun bagi Takino pula, beliau menegaskan bahawa hobi ini membantu mengurangkan kesan penuaan.
Ia sekali gus membuatkan dirinya berasa lebih sihat baik dari segi mental mahupun fizikal. Menurut Takino, dia dan rakan-rakan sekumpulannya menjalani latihan intensif setiap minggu namun tidak berlebih-lebihan.
Mereka bahkan memandang serius setiap sesi latihan selain menganalisis rakaman video mereka sendiri untuk memperbaiki setiap persembahan. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

