SEORANG wanita tempatan yang didakwa memotong kemaluan suaminya dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Pilah, pada Isnin.

Keputusan itu dibuat oleh hakim, Nariman Badruddin setelah pendakwaan sekali lagi gagal mengesahkan bilakah mangsa, Umar Rahman, 44, yang kini berada di Pakistan, boleh pulang ke Malaysia untuk memberi keterangan.

Manakala, perbicaraan menyoal saksi-saksi seperti dua orang doktor perubatan pula dibantah oleh peguam tertuduh, J.Gunamalar atas alasan ketidakhadiran mangsa selaku saksi tunggal kes menjadikan kes pendakwaan ini tidak berasas.

Berikutan itu, J.Gunamalar memohon agar tertuduh, Fatimah Abdullah, 55, boleh dilepaskan dibawah Seksyen 173(g) Kanun Prosedur Jenayah.

Pun begitu, pihak pendakwa mempunyai kebebasan untuk mendakwa semula.

Menurut kes perbicaraan, Fatimah didakwa melakukan kecederaan kepada suaminya itu yang boleh menyebabkan kematian pada 20 Januari jam 1.20 pagi di Jalan Beringin 3, Batu Kikir, Jempol.


Kes ini disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan, dan jika disabit kesalahan Fatimah boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan. – MYNEWSHUB.CC

Sumber: Sinar Harian