JAKARTA – Bencana jerebu yang melanda Asia Tenggara tahun lalu menyebabkan lebih 100,000 orang mati lebih awal daripada sepatutnya (premature deaths), menurut dapatan satu kajian yang dikeluarkan hari ini, Isnin.
Para penyelidik daripada Universiti Harvard dan Columbia di Amerika Syarikat menganggarkan bahawa lebih 91,600 orang mati lebih awal di Indonesia yakni di kawasan-kawasan yang paling hampir dengan kebakaran hutan yang menyebabkan jerebu.
Kematian di Malaysia pula berjumlah 6,500 dan seramai 2, 200 di Singapura.
Kajian itu turut menggesa agar tindakan pantas dilaksanakan bagi menangani ‘jerebu maut’ berkenaan.
Anggaran baru yang dicapai menerusi satu model analisis yang rumit itu mencatatkan jumlah yang jauh lebih tinggi berbanding angka korban rasmi yang diberikan pihak berkuasa, iaitu hanya 19 kematian di Indonesia.
“Jika tiada apa-apa perubahan, jerebu maut ini akan terus meragut lebih ramai nyawa, tahun demi tahun. Kegagalan bertindak segera untuk mengekang korban nyawa adalah satu jenayah,” kata aktivis Greenpeace Indonesia, Yuyun Indradi.
Jurucakap kementerian persekitaran Indonesia bagaimanapun tidak memberikan sebarang komen.
Pihak berkuasa Indonesia sebelum ini menegaskan mereka sedang mempertingkatkan usaha untuk membasmi jerebu menerusi beberapa langkah seperti mengharamkan pemberian tanah baru kepada ladang-ladang kelapa sawit dan menubuhkan sebuah agensi untuk memulihkan tanah gambut yang musnah.
Jerebu merupakan masalah yang berlaku setiap tahun dan disebabkan oleh kebakaran hutan dan tanah gambut yang kaya dengan karbon di Indonesia sebagai cara yang mudah dan cepat untuk membersihkan tanah bagi ladang kelapa sawit dan pulpa.
Sebahagian besar kebakaran itu berlaku di pulau Sumatera di Indonesia dan Kalimantan, dengan tolakan angin monsun yang membawa jerebu ke Singapura dan Malaysia.
Namun kebakaran-kebakaran tahun lalu adalah yang terburuk pernah berlaku sejak kebelakangan ini dan menyebabkan sebahagian besar rantau ini diselubungi jerebu selama berminggu-minggu lamanya sehingga menyebabkan ramai jatuh sakit, di samping mengakibatkan ketegangan dalam hubungan diplomatik.
BAYI BERISIKO
Pertubuhan alam sekitar, Greenpeace memberikan pujian terhadap kajian tersebut kerana buat pertama kalinya memberikan perangkaan terperinci tentang kematian akibat kebakaran-kebakaran tahun lalu.
Bagaimanapun, menurut mereka, angka itu hanyalah ‘anggaran konservatif’.
Ini kerana, kajian tersebut hanya fokus terhadap kesan kesihatan pada orang dewasa dan kesan daripada bahan zarah yang berbahaya, dikenali sebagai PM2.5 dan tidak mengkaji kesannya terhadap anak muda atau toksin-toksin yang dihasilkan oleh kebakaran-kebakaran itu.
Hakikatnya, bayi ialah antara golongan yang paling berisiko akibat jerebu, kata Nursyam Ibrahim, daripada Persatuan Perubatan Indonesia cawangan Kalimantan Barat.
“Kami merupakan doktor yang merawat insan-insan lemah yang terdedah pada asap toksik di setiap pusat perubatan, kami tahu betapa sedihnya melihat simptom-simptom penyakit ini pada bayi dan kanak-kanak di bawah jagaan kami,” kata beliau.
Sementara itu kajian tersebut turut mendapati ada peningkatan pada jumlah kebakaran di tanah gambut dan konsesi kayu balak pada 2015, berbanding kali terakhir jerebu yang dianggap paling dahsyat berlaku pada 2006, selain mendapati jumlah kebakaran pada ladang kelapa sawit merosot.
Shannon Koplitz, saintis Harvard yang terlibat dalam kajian itu, berkata beliau berharap model yang dibangunkan mereka boleh membantu mereka yang terlibat memadamkan kebakaran-kebakaran tahunan itu untuk membuat keputusan dengan segera ketika insiden-insiden jerebu ekstrem berlaku.
Bencana jerebu tahun lalu merupakan yang terburuk sejak 1997 akibat fenomena El Nino yang dahsyat, yang menyebabkan cuaca kering di Indonesia hingga tanah gambut dan hutan lebih berisiko terbakar. - AFP