SEREMBAN – Dua pelajar sebuah kolej swasta nyaris maut selepas hampir 10 minit terperangkap dalam kebakaran di rumah sewa dua tingkat mereka di Taman Desa Kolej, Nilai.
Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Mohd Fauzi Shamir berkata dalam kejadian pukul 1.50 tengah hari itu, kedua-duanya dikatakan terperangkap ekoran kehilangan kunci untuk membuka jeriji besi pintu rumah berkenaan.
“Pelajar terbabit bernasib baik kerana berjaya melepaskan diri dengan bantuan jiran-jiran. Mangsa adalah seorang pelajar perempuan dan seorang pelajar lelaki yang masing-masing berusia 19 tahun.
“Kedua-dua mangsa bagaimana pun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mohd Fauzi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.55 petang dan tiba di lokasi kejadian lima minit kemudian bersama tujuh anggota.
Beliau berkata pihaknya mengambil masa kira-kira setengah jam untuk memadamkan kebakaran yang berlaku di tingkat atas rumah berkenaan.
Punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan. – BERNAMA

