JAGUH perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei tidak menolak kemungkinan akan kembali berjuang dalam Olimpik Tokyo 2020 jika Persekutuan Badminton Dunia (BWF) meluluskan untuk memperkenalkan format baharu perlawanan badminton.
BWF sebelum ini dikatakan mungkin akan mempertimbangkan untuk menggunakan format baharu penggiraan markah iaitu hanya 11 poin untuk lima set berbanding sekarang 21 poin untuk tiga set.
“Tiada sebarang pengesahan mengenai hal itu, tapi jika betul ada perubahan itu, saya mungkin akan bertanding dalam Olimpik Tokyo.
“Lin Dan pun mungkin akan bermain sekiranya markah 11 poin diperkenalkan, ia bermakna lebih singkat perlawanan itu, yang mana ianya bagus untuk pemain senior seperti kami.
“Kami sudah mempunyai pengalaman, bermain dalam perlawanan singkat pastinya lebih bagus kerana kami pastinya dapat mengawal bulu tangkis dengan lebih baik,” katanya dipetik The Star.
Chong Wei turut berkata beliau berkemungkinan besar akan beraksi dalam kejuaraan Piala Thomas 2018.
“Tahap fizikal saya masih lagi baik dan saya tiada sebarang masalah berlatih dengan Hendrawan dan Tey Seu Bock memandangkan saya akan bertanding dalam Kejuaraan Dunia di Scotland tahun hadapan.
“Saya masih perlu belajar banyak benda lagi dari Hendrawan yang merupakan bekas jaguh dunia.
“Selain itu, jika keadaan fizikal masih mengizinkan, saya tak nampak sebarang masalah kenapa tidak boleh mewakili Malaysia sekali lagi untuk Piala Thomas,” kata beliau lagi.
Buat masa sekarang, Chong Wei; 34, akan memberikan fokus bagi menghadapi saingan Terbuka Jepun yang akan berlangsung di Tokyo bermula 20 hingga 25 September ini. – MYNEWSHUB.CC