PENYANYI Black Hanifah atau nama sebenarnya Hanifah Hanafiah, 29, memberitahu tidak berdepan dengan masalah selepas keluar dari syarikat rakaman Monkey Bone, sebulan yang lalu.
Menurut Black, dia berasa puas dan lebih gembira kerana dapat melakukan segala pengurusan berkaitan dengan kerjayanya.
“Saya sudah bergerak sendiri sebulan lebih dan sama sahaja seperti berada di bawah pengurusan. Tak ada masalah pun.
“Apa yang saya lakukan ini juga merupakan pilihan dan pendapat saya. Sudah tiba masanya untuk saya menguruskan sendiri kerjaya nyanyian saya,” katanya kepada mStar Online.
Pelantun lagu Anugerah Terindah ini juga mengakui mempunyai perancangan untuk meluaskan kerjayanya dalam beberapa bidang yang lain, termasuklah penganjuran majlis dan festival.
Black bakal mengadakan sebuah festival untuk mencari bakat baharu menerusi pertandingan nyanyian karoke dan merancang untuk mencungkil bakat baharu di bawah syarikat pengurusannya sendiri. -MYNEWSHUB.CC

