KUALA LUMPUR – Aliran trafik ke utara dan selatan bergerak lancar dan terkawal setakat 10 pagi ini.
Jurucakap PLUS Malaysia Berhad berkata trafik hanya bergerak perlahan berhampiran Simpang Renggam di KM63.4 kerana terdapat kemalangan.
“Kemalangan itu membabitkan sebuah lori yang kini berada di lorong kecemasan namun trafik masih lagi terkawal.
“Laluan dari Ayer Hitam menuju ke Yong Peng juga berlaku kemalangan di KM84.0. Belum dipastikan lagi kemalangan melibatkan kenderaan jenis apa kerana anggota kami dalam perjalanan ke sana,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata trafik masih lancar dan terkawal di semua lebuh raya bertol melibatkan laluan ke timur dan utara.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. – BERNAMA

