BUKIT MERTAJAM – Lapan rumah kongsi dan sebuah lori serta sebuah motosikal musnah dalam kebakaran di sebuah tapak pembinaan di Jalan Perda Utama, Bandar Perda di sini hari ini.
Komander operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang Muhammad Fauzi Bakar berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.54 pagi dan jentera pertama dari Balai Bomba Bandar Perdana bersama sembilan anggota tiba di lokasi kebakaran kira-kira lima minit kemudian.
“Ketika kami sampai api sedang marak dan sebahagian daripada rumah kongsi serta sebuah lori dan motosikal yang berada di perkarangan rumah itu telah terbakar,” katanya di sini hari ini.
Katanya kebakaran itu turut memusnahkan pelbagai peralatan pembinaan yang terdapat di perkarangan rumah kongsi yang didiami pekerja warga asing di situ.
Beliau berkata pihak bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke beberapa buah rumah kongsi yang terdapat di situ kira-kira pukul 10.06 pagi dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya sejam kemudian.
Muhammad Fauzi berkata tiada mangsa cedera dalam kebakaran itu dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Sementara itu, seorang penghuni rumah kongsi itu Mufarwa Abdullah,42, berkata semasa kejadian dia sedang bekerja di tapak pembinaan sebelum ternampak kepulan asap serta api dari rumah mereka.
“Saya terus balik ke rumah dan sambil menjerit supaya kawan-kawan yang berada dalam rumah keluar menyelamatkan diri. Ada beberapa pekerja yang masih tidur kerana mereka bekerja waktu malam.
Nasib baik mereka terdengar jeritan saya dan terus keluar untuk selamatkan diri. Cuma kami tidak sempat selamatkan apa-apa kerana api merebak dengan cepat,” katanya yang bekerja di Malaysia sejak 10 tahun lepas.
Katanya setiap rumah kongsi itu didiami lima hingga 10 orang pekerja asing dan mereka semua tinggal sehelai sepinggang selepas rumah berkenaan terbakar. – BERNAMA