KUANTAN – Semua anggota Parlimen dan Dewan Undangan Negeri daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya sentiasa turun padang dan menjaga ‘political base’ masing-masing bagi menjamin kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-14.
Perdana Menteri dan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ia merupakan petua utama dalam perjuangan UMNO selama ini sehingga berjaya menjadikannya sebuah parti yang kuat dan berdaya tahan walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran serta krisis.
“Kita mesti pastikan parti yang dikasihi ini terus kuat sebab perjuangan masih jauh. Satu daripada petua dalam perjuangan selama ini yang mesti kita lakukan ialah jaga ‘political base’, mana-mana pemimpin mesti jaga ‘political base’nya, kalau semua jaga ‘political base’ di seluruh negara kita akan berjaya memenangi hati serta fikiran rakyat dan akan terus berjaya.
“Mereka (rakyat) inilah sebenarnya yang pertahankan parti siang dan malam, bekerja untuk parti dan mereka jugalah yang akan ke hadapan pada PRU demi mempertahankan parti dan menjadi parti UMNO berdaya tahan sehingga kini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Paya Besar di Bukit Gambang Resort City di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.
Majlis turut dihadiri oleh Ketua UMNO Bahagian Paya Besar Datuk Seri Abd Manan Ismail serta lebih 10,000 anggota daripada 80 cawangan UMNO bahagian serta wakil daripada parti komponen BN.
Najib, yang juga Anggota Parlimen Pekan, berkata UMNO boleh berbangga kerana tetap kukuh dan mampu menjadi parti yang berdaya tahan sejak ditubuhkan 70 tahun lalu walaupun banyak parti seangkatan dengannya di luar negara kini telah goyah dan ada yang telah bertukar menjadi pembangkang.
“Bermula 1 Mei 1946, dari era itu sehingga hari ini, mana ada parti lain di dunia yang utuh dan sehebat parti ini. Saya jumpa Joko Widodo (Presiden Indonesia) dan pemimpin parti Golkar, parti itu juga tidak lagi segagah UMNO walaupun kita pernah membuat perbandingan dengan parti itu suatu ketika dahulu.
“Begitu juga parti Congress di India, hari ini ia telah jadi parti pembangkang, justeru saya ingin katakan dalam sistem amalan demokrasi terbuka dengan rakyat diberi hak memilih kerajaan setiap lima tahun sekali secara bebas, kitalah parti paling berjaya di dunia,” katanya.
Kekuatan itu, katanya turut disumbangkan dengan semangat perjuangan yang tidak pernah padam pada diri setiap anggota UMNO kerana mereka sedar wadah perjuangan parti bukan sekadar untuk mencapai dan mengisi kemerdekaan, tetapi juga untuk menjulang bangsa, agama dan negara ke peringkat yang tertinggi.
“Saya ada berjumpa dengan veteran UMNO dan bertanya apakah pesanan yang nak diberikannya kepada generasi muda, mereka katakan hayatilah kemerdekaan, jadikanlah perjuangan sebagai amalan dan darah daging kita.
“Apabila kita membudayakannya, parti akan terjaga dan terpelihara sebaiknya dalam apa jua keadaan dan kita tidak kira apa jua jawatan. Kalau tidak boleh jadi wakil rakyat, kita jaga parti supaya UMNO akan terus menjadi parti yang berdaya tahan,” katanya.
Dalam ucapannya itu, beliau turut meluluskan peruntukan lebih RM4 juta untuk pembinaan masjid baharu Felda Bukit Sagu 1, bagi menggantikan masjid lama yang telah uzur. – BERNAMA