Friday, June 21, 2024

Creating liberating content

PKR: Azmin Kekal Timb....

PETALING JAYA -  Mohamed Azmin Ali mengekalkan jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat...

Kelakar..Lelaki Ganggu Teman Wanita...

Pasti ramai yang tertanya-tanya motif video ini sebenarnya dan apa yang menarik mengenai...

Suntikan Semangat Bagi Penjawat...

PUTRAJAYA - Fokus perlu diberikan bagi menyuntik semangat kakitangan perkhidmatan awam memandangkan mereka...

Matang Dan Bijak Memilih,...

KUALA KANGSAR - Pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kawasan Parlimen Kuala Kangsar dan...

Tun Mahathir Punca Perpecahan Orang Melayu

BATU PAHAT – Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad adalah punca kepada perpecahan orang Melayu sehingga menubuhkan beberapa parti kecil yang lain.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu, berkata pendapatnya selari dengan kenyataan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar semalam, yang bertitah bekas perdana menteri itu punca perpecahan orang Melayu sejak dahulu lagi.

“…ada enam parti (terbentuk akibat perpecahan orang Melayu). Dua daripadanya akibat dan berpunca daripada Dr Mahathir sendiri. PKR misalnya, selepas Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dipecat, wujud PKR.

“Mujur Semangat 46 sudah berkubur, kalau tidak Semangat 46 wujud pun sebab tindakan Dr Mahathir juga, dan terbaru beliau menubuhkan parti baharu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) yang tujuannya menarik ahli UMNO…itu satu tindakan memecahbelahkan orang Melayu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Parit Sulong di sini hari ini.

Beliau, bagaimanapun yakin hanya segelintir anggota UMNO yang terpengaruh untuk menyertai parti baharu itu, manakala sebahagian besar masih setia dengan kepimpinan UMNO sekarang.

“Kita tahu mereka memang ada jasa besar kepada UMNO, tidak kira siapa sebab mereka bekas pemimpin UMNO, tetapi apabila mereka bersama dan menubuhkan parti baharu menentang UMNO, dan bersama parti pembangkang, maka mereka adalah musuh kepada UMNO,” katanya.

Semalam, Sultan Ibrahim membidas kenyataan bekas perdana menteri itu berhubung Bangsa Johor dan bertitah bahawa bekas pemimpin itu tidak layak untuk bersuara mengenai perpaduan.

Baginda bertitah Bangsa Johor yang dibawa moyang baginda, Almarhum Sultan Sir Ibrahim pada 1920 berjaya menyatupadukan rakyat berbilang bangsa di bawah satu panji demi mewujudkan kerjasama, keharmonian dan keamanan lebih baik, dan visi Almarhum Sultan Sir Ibrahim itu terbukti berjaya.

“Beliau (Dr Mahathir) akan berterusan memecahbelahkan rakyat termasuk orang Melayu, sedang saya pula menyatukan rakyat Malaysia daripada semua kaum termasuk orang Melayu,” titah baginda.

Sultan Ibrahim turut bertitah bahawa Dr Mahathir adalah punca kepada pelbagai masalah negara pada masa ini, dan tidak berhak untuk campur tangan dalam negeri Johor.

Pada Rabu lepas, Dr Mahathir pada satu dialog di Yayasan Kepimpinan Perdana ketika mengulas mengenai konsep Bangsa Johor, dipetik sebagai berkata perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia akan terganggu sekiranya rakyat mengamalkan terlalu banyak kenegerian.


Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata orang Melayu terutama anggota UMNO diingatkan agar berhati-hati dengan perangkap parti pembangkang yang menggunakan orang Melayu dalam mengutarakan isu-isu berbangkit dan baru, sehingga mewujudkan kekeliruan sekali gus menyebabkan perpecahan dalam kalangan anggota parti itu.

Di MARANG, Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Razali Ibrahim ketika ditanya mengenai isu Bangsa Johor, berkata perkara itu tidak perlu dibangkitkan kerana sejarah telah mencatatkan kewajaran ia diguna pakai sejak dahulu lagi.

“Saya hairan kenapa perkara yang dah wujud begitu lama ingin dibangkitkan sekarang…kecuali ada niat untuk melaga-lagakan dan pecahbelahkan kita.

“Perkara ini tidak menguntungkan…Bangsa Johor dah wujud lama,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Marang.

Sementara itu di LANGKAWI, UMNO Bahagian berkenaan telah melakar strategi yang diyakini dapat memastikan majoriti rakyat di pulau itu untuk terus menyokong UMNO dan tidak terpengaruh dengan perjuangan Dr Mahathir.

Tanpa menyebut secara spesifik strategi itu, Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata walaupun nama bekas perdana menteri itu begitu sinonim dengan Langkawi, anggota UMNO di pulau itu telah menunjukkan komitmen tinggi dengan menjelaskan kepada rakyat perjuangan UMNO lebih penting.

“Mereka lebih yakin perjuangan UMNO lebih mustahak daripada perjuangan Tun Mahathir itu sendiri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Langkawi hari ini.

Hamzah berkata anggota UMNO tidak perlu mengambil pendirian untuk bermusuh-musuhan dengan penyokong Dr Mahathir, tetapi lebih menumpukan kepada usaha berterusan untuk membolehkan mereka menghayati perjuangan parti itu.

“Cara bermusuhan itu bukan wujud daripada parti UMNO. Kita adalah satu- satunya parti yang telah dilahirkan tanpa mempunyai sikap untuk bermusuhan dengan sesiapa sekalipun,” katanya. – BERNAMA

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori