KUALA LUMPUR – Program ‘Bermalam di Muzium 2016’ yang akan diadakan dari 30 hingga 31 Ogos sempena sambutan Hari Kebangsaan bakal tercatat dalam Malaysia Book of Records, kerana disertai peserta paling ramai.
Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia (JMM) Kamarul Baharin A.Kasim berkata pihaknya menyasarkan seramai 1,500 peserta terdiri daripada pelajar berumur 14 hingga 17 tahun dari sekolah menengah seluruh negara, akan bermalam di 21 muzium jabatan itu, di seluruh negara.
Antara muzium terlibat ialah Muzium Negara, Muzium Seni Kraf Orang Asli, Muzium Etnologi Dunia Melayu, Muzium Diraja, Muzium Tekstil Negara, Muzium Arkeologi Lembah Bujang, Muzium Kota Kayang, Muzium Sungai Lembing, Muzium Kota Kuala Kedah dan Galeria Perdana.
Selain itu ialah Muzium Alam Semula Jadi, Muzium Automobil Nasional, Muzium Adat, Muzium Lukut, Muzium Seni Bina Malaysia, Muzium Perak, Muzium Matang, Muzium Kota Johor Lama, Muzium Labuan, Muzium Marin Labuan serta Muzium Chimney, katanya kepada Bernama di sini hari ini.
“Program ini akan dijalankan secara serentak bermula 3 petang (30 Ogos) dan berakhir pada 1 tengah hari (31 Ogos) di semua muzium berkenaan dengan pelbagai aktiviti menarik menanti para peserta,” katanya.
Kamarul Baharin berkata antara aktiviti yang akan diadakan ialah ‘Night Hunter’ di semua muzium terlibat.
Sementara di Muzium Negara, akan diselitkan dengan program segmen khas mengenang jasa perwira negara hasil kerjasama dengan Muzium Tentera Darat, katanya.
Beliau berkata pada pagi 31 Ogos, kesemua peserta di kesemua muzium akan menyertai aktiviti ‘Lumba@Muzium’.
‘Program Bermalam di Muzium’ ini telah dipelopori oleh Muzium Negara sejak 2005 bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan telah mendapat sambutan hangat dari peserta, katanya.
Beliau berkata berdasarkan sambutan yang menggalakan, JMM telah menjadikan program itu sebagai acara wajib Muzium Negara saban tahun dan pada tahun ini aktiviti ini melibatkan semua muzium Persekutuan di bawah JMM.
Kamarul Baharin berkata program pendidikan seumpama ini juga dilihat bukan sahaja dapat mendekatkan muzium dengan komuniti, malah menarik minat komuniti terutamanya generasi muda dalam usaha memupuk semangat patriotik dan cintakan negara. – BERNAMA

