CYBERJAYA – Adakah semua maklumat yang terpapar di internet, khususnya melalui media sosial boleh dipercayai bulat-bulat?
Secara umum pasti ramai yang akan menjawab ‘tidak’ untuk soalan di atas. Pun begitu, sehingga Jun 2016 sahaja, 101 aduan berkaitan pembelian dalam talian dan 92 aduan penipuan cinta.
Ini hanyalah sebahagian kecil daripada pelbagai aduan yang diterima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Jenis aduan lain yang diterima termasuk berkaitan bahan lucah, fitnah, jenayah siber, penggodaman dan kandungan yang mengelirukan.
Buat SKMM, sudah sampai masanya masyarakat mengambil berat tentang kredibiliti maklumat yang didapati dari dalam talian demi kebaikan para pengguna internet di negara ini.
PEKA KREDIBILITI MAKLUMAT
Pengarah Kanan, Advokasi dan Jangkauan SKMM, Puan Eneng Faridah Iskandar berkata pengguna internet hari ini perlu lebih peka dengan tahap kredebiliti maklumat yang mereka perolehi.
Salah sumber atau salah maklumat boleh mengakibatkan keadaan yang tidak diingini baik buat diri sendiri, keluarga, masyarakat, dan seterusnya negara.
Dalam satu sesi penerangan kepada pihak media, Eneng menegaskan implikasi buruk yang boleh dihadapi termasuklah kehilangan nyawa dan mengganggu ketenteraman awam.
Mengambil contoh isu berkaitan pengambilan vaksin kepada kanak-kanak, Eneng berkata rakyat diberi maklumat kurang sahih melalui internet dan telah berjaya menimbulkan rasa sangsi kepada sebahagian ibu bapa terhadap perkara ini.
Bahkan seluruh negara pernah gempar seketika apabila beberapa kematian dicatatkan akibat penyakit Difteria yang dikaitkan dengan kegagalan memberi imunisasi kepada kanak-kanak.
TESTIMONI REKAAN
Mengenai penjualan pelbagai produk dalam talian, Eneng menasihatkan orang ramai agar tidak terlalu mudah terpengaruh dengan ‘testimoni’ yang disiarkan dalam iklan.
“Penjual dalam talian gemar berkongsi ‘screenshot’ testimoni pelanggan mereka. Tetapi ada kemungkinan ia hanya direka semata-mata untuk melariskan produk. Oleh itu para pembeli perlu lebih berhati-hati,†katanya.
Produk ubat-ubatan yang dijual perlulah mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan iklan-iklan ubat pula perlu diluluskan Lembaga Iklan Ubat sebelum disiarkan kepada orang ramai.
“Oleh itu berhati-hatilah dengan produk atau ubat-ubat yang menggunakan pendekatan menanya pengalaman diri sendiri, keluarga atau rakan-rakan seperti ‘Berat berkurangan?’, ’kulit mengelupas?, atau ‘minda semakin cerdas?’†tambah Eneng.
Produk makanan pula tidak sepatutnya mempunyai tuntutan perubatan seolah-olah mampu menjadi seperti ubat untuk menyembuhkan penyakit.
Ini termasuklah produk makanan berasaskan perubatan Islam. Ia harus ditegah untuk mengelak penyelewengan, selain tiada jaminan keberkesanan produk.
“Buat orang yang berada dalam keadaan terdesak, seperti menghidap penyakit kronik dan sebagainya, mereka mudah percaya kepada iklan-iklan ini yang sebenarnya bukan sahaja memberi impak kewangan kerana kos yang biasanya mahal tapi mereka juga terdedah kepada risiko penyakit menjadi semakin teruk,†ulas Eneng.
SUMBER RASMI
Eneng turut melahirkan rasa kebimbangan dengan gejala timbul pihak-pihak tidak bertauliah yang mengaku ‘pakar’ berkenaan sesuatu ilmu dan mengakibatkan orang ramai percaya.
Perkara-perkara mengenai tips permakanan, tips kesihatan, pengurusan wang, dan cara cepat menjana pendapatan amat mudah dipercayai orang ramai walaupun tanpa menyelidik sumber maklumat.
Dalam kes-kes yang didapati, sesetengah ‘pakar’ ini tidak lain hanyalah orang yang mempunyai minat terhadap sesuatu ilmu dan mempelajarinya secara sendiri.
Bagaimanapun, itu tidak memberi seseorang ‘lesen’ untuk mengaku sebagai pakar, apatah lagi menggunakan gelaran professional seperti ‘Doktor’.
Golongan ini pula apabila dipersoalkan kreadibilitinya, biasanya akan dipertahankan oleh pengikutnya yang tersendiri yang sudah betul-betul percaya dengan apa yang diajarkan oleh beliau.
Justeru SKMM amat menggalakkan masyarakat untuk menyelidik sumber maklumat yang diperoleh. Sekiranya ada sebarang bentuk kecurigaan atau ada elemen ‘too good to be true’, masyarakat dinasihatkan untuk mendapatkan pendapat daripada pihak yang lebih layak seperti pakar bidang atau pihak berkuasa yang berkaitan.
Tinjauan Bernama mendapati, ‘page’ Kementerian Kesihatan Malaysia amat aktif menyalurkan maklumat berkaitan isu terkini kesihatan dan menjawab persoalan daripada pengguna Facebook.
Satu lagi ‘page’ yang aktif adalah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang diklasifikasikan oleh Facebook sebagai ‘typically replies within minutes’ kepada mesej yang dihantar secara peribadi kepada penyelia laman.
Ini bererti, para pengguna yang mendapat maklumat tentang produk kesihatan ataupun berkaitan agama Islam hampir tiada alasan lagi untuk tidak memeriksa balas maklumat yang mereka dapati dengan pihak berkuasa.
AMARAN
Buat pihak yang masih melakukan perbuatan menyebar maklumat mengelirukan kepada orang ramai, Eneng berkata masih belum terlambat untuk mereka berhenti melakukan perbuatan itu.
Untuk pihak yang masih berdegil, SKMM punya amaran khusus buat mereka.
“Hanya masa menentukan apabila apa yang anda katakan (dalam talian) melukai seseorang dan apabila itu berlaku, ingatlah bahawa pasukan undang-undang akan mencari kamu”, kata Eneng.
(“Its just about time when what you say (online) hurts someone and when that happen, the full force of law will hit on youâ€).
Dengan kapasiti pasukan siasatan SKMM yang kini dilengkapi jumlah anggota yang lebih ramai dan kelengkapan yang lebih canggih, setiap aduan yang diterima akan disiasat sebaiknya.
Untuk rekod, sehingga Jun 2016 sahaja, SKMM menjalankan empat pendakwaan, dua kompaun dan 48 serbuan di seluruh negara. – BERNAMA

