GEORGE TOWN – Hospital Pulau Pinang (HPP) sedang mencari anggota keluarga terdekat dua orang lelaki yang telah meninggal dunia pada 17 dan 18 Ogos lalu.
Pengarah HPP Datuk Dr Norsidah Ismail berkata kedua-dua mayat tersebut masih belum dituntut sehingga hari ini.
“Seorang daripada lelaki itu berbangsa India dan tidak mempunyai sebarang pengenalan diri bersamanya manakala seorang lagi lelaki dikenali sebagai Zainol Bah berusia 53 tahun dan berdasarkan alamat dalam pengenalannya adalah di Kangar, Perlis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kedua-dua lelaki itu meninggal dunia disebabkan penyakit radang paru-paru dan mayat mereka berada di Jabatan Forensik HPP menunggu untuk dituntut oleh anggota keluarga.
Pihak HPP meminta waris atau anggota keluarga kedua-dua lelaki tersebut supaya menghubungi HPP di talian 04-222 5947/5116 bagi urusan menuntut mayat. – BERNAMA

