KUALA LUMPUR – Dua ‘ulat parkir’ masing-masing didenda RM1,000 dan RM500 oleh Mahkamah Trafik di sini, hari ini, bagi kesalahan mendesak pemandu meletakkan kenderaan dan menuntut bayaran wang.
Majistret Noorul Fhaiez Mohd Nayan menjatuhkan hukuman itu ke atas penjual tauhu, Leong Chee Weng, 44, dan penganggur, Hoh Kah Hin, 28, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan secara berasingan.
Leong dan Hod masing-masing didenda RM1,000 atau penjara sebulan dan RM500 atau penjara lima hari jika gagal membayar denda itu.
Mereka didakwa mendesak pemandu kereta untuk meletakkan kenderaan dan menuntut bayaran wang di Jalan Changkat Thambi Dollah/ Jalan Baba, di sini, pada 10.30 malam, semalam (24 Ogos).
Mereka didakwa mengikut Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 119(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Inspektor Hashimah Hashim memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal supaya memberi pengajaran kepada tertuduh agar kesalahan yang sama tidak lagi berulang.
Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon denda yang ringan dengan alasan mereka adalah penanggung utama keluarga masing-masing.
Di mahkamah sama, Akmal Azree Razin Rosli, 32, didenda RM300 atau penjara tiga hari jika gagal membayar denda itu selepas mengaku bersalah tidak menggunakan tali pinggang keselamatan ketika memandu di Lingkaran Putra menghala Kuala Lumpur, di sini pada 12.06 tengah hari, 13 Julai 2014.
Hashimah memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu denda yang ringan dengan alasan dia menanggung dua anak yang masih kecil. – BERNAMA