RAKAMAN video memaparkan seorang wanita yang sedang berjalan kaki ditendang seorang lelaki tidak dikenali di laluan Stesen LRT Bandaraya ke Stesen Komuter Bank Negara Malaysia (BNM) kini tersebar menjadi viral di media sosial.
Menerusi rakaman CCTV berdurasi 36 saat itu, lelaki itu dilihat menendang wanita berkenaan dari belakang secara tiba-tiba hingga membuatkan mangsa tersungkur di lantai laluan pejalan kaki tersebut.
Video tersebut sekali gus mengundang ketakutan para wanita dan kemarahan ramai.
Difahamkan, ini adalah kejadian kali ketiga seumpamannya berlaku di kawasan berkenaan.
Susulan itu, gambar lelaki tersebut kini tersebar di laman Facebook memohon agar wanita lebih berwaspada dan berhati-hati.
Dalam perkembangan lain, lelaki tersebut dilaporkan telah ditahan pihak polis di rumah kediamannya di Kampung Batu Muda, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, kira-kira pukul 10 malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa, suspek sebelum ini pernah ditangkap pada tahun 2013 kerana membawa parang ke dalam BNM.
Dalam pada itu, pihak polis tidak menolak kemungkinan sekiranya suspek mempunyai masalah mental. – MYNEWSHUB.CC