KOTA BHARU – Skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQP TRW) mengambil bekas pemain Birmingham City, Morgaro Gomis, untuk melengkapkan kuota pemain import terakhir sebelum perpindahan kedua Liga Malaysia berakhir pada 15 Julai ini.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata pemilihan bekas pemain itu adalah untuk menggantikan Jonatan Lucca dari Brazil yang ditamatkan kontrak secara persetujuan bersama baru-baru ini.
“Berasaskan keperluan pasukan, ketua jurulatih Velizar Popov diberikan masa membuat penilaian dan dia telah memperakukan dua pemain import baharu iaitu Gomis dan Wander Luiz (Bitencourt Junior, pemain Brazil) untuk pasukan ini.

“Kita dapati Troare (Dramane, penyerang Mali) dan Ilijoski (Blazhe) tidak begitu sesuai di antara satu sama lain dan Popov mahukan pemain tengah yang lebih berkesan di posisi tengah,” lapor Sinar Online.
Gomis, 30, dilahirkan di Perancis pernah menganggotai pasukan Birmingham City bermula 2011 namun keluar pada Julai 2013. Sepanjang kariernya bersama kelab itu, dia beraksi sebanyak 43 kali.
Sementara itu Popov memberitahu, dia mahukan seorang pemain tengah bertahan yang agresif, laju serta ada pengalaman luas beraksi di peringkat kompetitif dan Gomis adalah pemain yang menepati kriteria tersebut.
“Gomis dan Wander Luiz ada pengalaman bermain dalam liga besar berbanding di Malaysia, jadi tiada alasan bagi kedua-dua pemain ini untuk tidak boleh menunjukkan sesuatu impak yang besar dan membawa perubahan kepada pasukan ini,†katanya. – MYNEWSHUB.CC

