KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa seorang banduan yang dihukum penjara kerana melakukan kesalahan jenayah tidak hilang kebebasan di bawah Perlembagaan Negara.
Ahli Parlimen Padang Serai daripada parti itu, N. Surendran yang membuat dakwaan berkenaan berkata, banduan jenayah tetap mempunyai hak kebebasan seperti orang lain kecuali hak untuk bebas bergerak.
“Apabila didapati bersalah dan dipenjarakan, banduan hanya kehilangan kebebasan mereka bergerak. Semua asas kebebasan lain ke atas mereka adalah kekal,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Surendran berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed bahawa hukuman penjara yang dikenakan terhadap banduan bermakna individu itu hilang kebebasannya.
Nur Jazlan berkata demikian ekoran gesaan kenyataan Surendran sebelum ini supaya pihak berkuasa membenarkan semua banduan mengadakan pertemuan secara fizikal dengan para pelawat.
“Bila masuk penjara, penjara ini maksudnya dilaranglah. Dia tak ada kebebasan dan sebagainya. Soal nak sentuh semua ini apa masalahnya,” tegas Nur Jazlan.
Surendran seterusnya membangkitkan sentimen kekeluargaan dalam isu berkenaan apabila mendakwa kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri itu menyedihkan beribu-ribu ahli keluarga para banduan.
“Kenyataannya itu adalah kejam dan tidak bertanggungjawab dan memaparkan kekurangan simpati atau kemanusiaan,” tuduh Surendran. – MYNEWSHUB.CC

