KEMAMAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) agresif mengekang kegiatan penyeludupan minyak diesel khususnya yang dijalankan di perairan Kemaman.
Pengarah Pangkalan Maritim Kemaman, Leftenan Komander Maritim Mohd Marmizi Md Nor berkata tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana kapal bekalan yang dipercayai menjual minyak kepada pembeli haram di sekitar perairan ini.
Katanya kebanyakan kapal-kapal itu menjual baki minyak yang berada di dalam tangki kepada pembeli haram sebagai duit sampingan.
“Kebanyakan kapal-kapal ini disewa oleh syarikat-syarikat minyak dan gas yang menjalankan operasi cari gali di kawasan pelantar minyak di perairan timur,” katanya kepada Bernama.
Justeru, pihaknya menggesa syarikat terlibat melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi mengekang kegiatan penjualan haram itu oleh kapal yang disewa.
Mohd Marmizi berkata pihaknya juga bekerjasama dengan beberapa agensi lain termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Laut dalam usaha membanteras kegiatan tersebut.
“Selain itu, kita turut bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta Kastam bagi penyaluran maklumat berhubung aktiviti ini,” katanya.
Mohd Marmizi berkata pihak APMM turut mengesan kebanyakan aktiviti pemindahan minyak secara haram ini dilakukan pada waktu tengah malam sehingga subuh bagi mengelak dihidu oleh anggota penguat kuasa dan nelayan tempatan.
Jelasnya pihaknya turut menempatkan bot peronda serta melakukan pemantauan yang lebih kerap terutamanya pada waktu malam di kawasan pelabuhan sekitar Kemaman dan Kertih.
Beliau turut memberikan amaran kepada nelayan tempatan supaya tidak menjual minyak diesel bersubsidi kepada pihak lain bagi mengaut keuntungan lebih atau berdepan dengan tindakan undang-undang yang berat. – BERNAMA

