KUALA LUMPUR – Pertubuhan Syria Care menghantar dana dan barangan makanan bernilai hampir RM2.4 juta kepada rakyat Syria yang terjejas dalam konflik peperangan bersempena Ramadan ini.
Pengerusi Syria Care Malaysia, Siti Sakinah Meor Omar Baki berkata, penghantaran pertama berjumlah RM 1,416,572.60, kedua RM600,000 dan penghantaran seterusnya merupakan susu bernilai RM378,900.
“Syria Care berusaha sejak Mac bagi mengumpulkan dana Kempen Ramadan Al-Khair 4 di mana sebahagian besar sumbangan digunakan bagi penyediaan dan agihan makanan berbuka puasa dan sahur bagi rakyat Syria di enam kawasan dalam Syria.
“Pihak Syria Care berkerjasama dengan enam badan bukan kerajaan (NGO) tempatan di sana untuk melancarkan semua urusan memandangkan ada beberapa kawasan masih berada di bawah kepungan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Siti Sakinah berkata, sebahagian kawasan terbabit menerima makanan yang telah siap dimasak manakala sebahagian lagi menerima bungkusan seperti minyak, gula, beras, gandum, kacang dan lain-lain.
Kata beliau, barangan terbabit diagihkan sejak hari pertama Ramadan kepada kira-kira 11,000 rakyat Syria.
“Kami masih menerima sumbangan bagi projek #Food4Syria untuk memastikan makanan dapat disediakan sehingga ke penghujung Ramadan,” katanya. – MYNEWSHUB.CC

